‘Alpa punca Hoben diratah The Red Warriors’

March 6, 2012 by  
Filed under BOLA SEPAK NS, Sukan

Share |

KEALPAAN pada minit terakhir disifatkan Mohd Azraai Khor Abdullah sebagai punca Negeri Sembilan kecundang 1-2 kepada Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, malam kelmarin.

Katanya, sekalipun menyamakan kedudukan menerusi penyerang muda, Ahmad Shakir Md Ali, pemain gagal mengekalkan rentak, sebaliknya kealpaan menyebabkan tuan rumah mengambil kesempatan untuk meraih kemenangan.

“Memang rasa kecewa selepas hasrat meraih satu mata daripada gelanggang lawan hampir tercapai, tetapi angkara kelekaan pemain pada minit terakhir perlawanan menyebabkan impian itu berkecai. Walaupun pahit, kami terpaksa menerima hakikat ia berpunca daripada kesilapan sendiri.

“Saya harap pemain dapat menjadikan perlawanan malam tadi (kelmarin) sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan, sebaliknya bangkit dengan persembahan lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya semalam.

Menurut pengendali berpengalaman itu, ketiadaan dua tonggak iaitu kapten Mohd Shukor Adan dan Norhafiz Zamani Misbah yang cedera, jelas menjejaskan kekuatan dan persembahan pasukan, apatah lagi berdepan pasukan berwibawa berstatus pendahulu dan juara bertahan seperti Kelantan.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.