Aktiviti Santai Finalis Hero REMAJA
Jika bulan-bulan sebelum ini, finalis dihidangkan dengan aktiviti-aktiviti yang mencabar, namun untuk cabaran kali ini mereka diberikan tugasan yang agak santai. Walaupun begitu, cabaran ini tetap memperlihatkan kehebatan finalis dalam menonjolkan bakat mereka di pentas Pencarian Hero REMAJA 2011/2012 (PHR 2011/2012). Ikuti kupasan aktiviti yang dilakukan oleh mereka sepanjang aktiviti tersebut.
Cabaran Catwalk
Bukan mudah untuk berdiri gah di atas pentas ditambah lagi untuk berjalan bergaya ala model. Bagi memberi keyakinan yang tinggi kepada finalis ini untuk beraksi hebat di pentas kejuaraan Hero REMAJA, mereka telah dibawa ke Amber Chia Studio Berjaya Time Square, Kuala Lumpur untuk diberi peluang mempelajari dan mendedahkan diri kepada dunia peragaan yang sebenar.
Para finalis telah diberi latihan dan tunjuk ajar sepanjang berada di studio dengan pelbagai teknik serta cara peragaan yang betul apabila berjalan di atas pentas. Setelah diberikan pendedahan tersebut, finalis telah diberi cabaran catwalk dan cabaran tersebut telah dimenangi oleh Nazrief. Setelah penat menjalani latihan, para finalis dihidangkan dengan minuman isotonik 100 plus yang menjadi minuman penaja rasmi untuk PHR 2011/2012 kali ini.
Ukur Baju Pereka
Setelah selesai aktiviti di studio Amber Chia, para finalis bergegas pulang ke Shah Alam untuk menjamu selera makan tengah hari di Restoran Hameediyah. Di sini, mereka telah berkenalan dengan pengusaha restoran tersebut iaitu Aslan Hazdi Ahmad. Sekitar jam 2.00 petang, para finalis bergegas di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf untuk mengukur baju yang direka oleh pereka masing-masing.
Ini bagi mendapatkan ukuran yang elok agar para finalis ini tampak hebat dan gah menyarungkan busana para pereka ini di pentas akhir yang akan berlangsung September ini.
Latihan Silat
Bagi memantapkan lagi gerak tari silat para finalis, mereka sentiasa diberikan latihan setiap kali aktiviti Hero berlangsung. Pergerakan silat ini wajib dihafal dan diingati agar gerakan mereka selari dan seragam. Cikgu Jasmi Baba dan pembantunya berhempas pulas mencurahkan ilmu persilatan kepada para finalis bagi mempersiapkan mereka dengan persembahan pembukaan di acara akhir Hero REMAJA nanti.
Pengumuman Penaja Utama
Sebelum malam berlabuh, finalis telah diperkenalkan dengan penaja utama Pencarian Hero REMAJA 2011/2012 iaitu Mohd Qhairol Iqhssan Yusof & dua orang wakil dari Public Bank. Mereka telah memberikan sedikit penerangan tentang Public Bank selain mengumumkan hadiah tajaan Public Bank. Para finalis juga diberi dua tugasan iaitu menyediakan gambar lengkap berbaju Melayu dan tugasan berkumpulan.
Gimik ‘Amuk’
Sedang leka mendengar perkongsian tersebut, dewan Auditorium Karangkraf dikejutkan dengan tragedi ‘amuk’ para finalis. Keadaan menjadi kelam kabut sehingga Editor REMAJA dan krew tergamam kerana tragedi tersebut berlaku di hadapan para penaja. Namun tragedi yang memeranjatkan itu rupa-rupanya hanyalah gimik para finalis untuk membuat kejutan bagi menyambut hari jadi Editor REMAJA, Kak Linda. Setelah selesai segala aktiviti, para finalis berangkat ke Intekma Resort Shah Alam untuk bermalam sebelum memulakan tugasan pada keesokan harinya.












