Aidilfitri pupuk muhibah
Kuala Lumpur, 21 Ogos : Kehadiran Aidilfitri diraikan dalam suasana penuh meriah di seluruh negara dengan amalan kunjung-mengunjung, majlis rumah terbuka dan saling bermaafan terus kukuh menjadi tradisi.
Di sana sini, kelihatan rumah terbuka diadakan dan dikunjungi masyarakat pelbagai bangsa, sekali gus menguatkan budaya mesra masyarakat negara ini dan menjadi jendela memupuk semangat muhibah serta perpaduan antara rakyat.
Beramah mesra dengan rakyat
Kehadiran Syawal dimanfaatkan umat Islam termasuk ketua dan pemimpin negara serta negeri untuk beramah mesra dengan rakyat.
Suasana di ibu negara juga meriah walaupun sebahagian besar warga kota pulang ke kampung meraikan Aidilfitri bersama keluarga. Pelancong, pekerja asing dan rakyat tempatan mengambil kesempatan cuti hari raya untuk bersiar-siar di tempat tumpuan, membeli-belah atau meluangkan masa bersama keluarga dan kenalan.











