Kategori Berita Bergambar

Transformasi majlis agama

KUALA LUMPUR: 27 Sept – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah sudah tiba masanya majlis agama Islam negeri melaksanakan fasa transformasi secara holistik, komprehensif dan bersepadu bagi memantapkan peranan sebagai barisan depan pengurusan pentadbiran hal-ehwal Islam negara.

Baginda bertitah, dalam misi memacu transformasi pengurusan Islam seiring dengan pengurusan organisasi lain, institusi agama perlu berada di landasan kukuh, mantap dan berkesan.

Usaha memperkemas jentera organisasi dan tadbir urus institusi agama perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa. Sumber mapan, struktur organisasi yang kemas, kewibawaan modal insan dan kebijaksanaan memaksimumkan potensi adalah faktor penting penentu kecemerlangan majlis agama Islam negeri yang perlu diperkasa, titah baginda ketika merasmikan Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

Hadir sama, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Kongres dua hari itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kongres dihadiri 1,000 peserta pelbagai agensi itu dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama majlis agama Islam negeri. Ia julung kali diadakan dengan fokusnya membentuk langkah bersama merangka strategi secara kolektif dalam menangani suasana globalisasi serta perkembangan teknologi maklumat.

Tuanku Mizan juga berharap peranan Lembaga Penyelarasan Pelajaran Dan Pendidikan Islam (LEPAI) terus diperkukuhkan bersama majlis agama Islam negeri demi kepentingan pendidikan agama Islam negara.

Fungsi zakat sebagai Rukun Islam ketiga juga harus diberi perhatian serius. Amat penting mengkaji kaedah ke arah mempromosi zakat dan memperhebat galakan menghulur sedekah jariah supaya kedua-dua elemen itu dimanfaatkan sebagai jentera penggerak sosioekonomi yang mampu menjana kekayaan bagi umat Islam sejagat sepanjang zaman, titah baginda.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]