Kategori Berita Bergambar

Anak-Anak NS di Kuala Lumpur Rai Jubli Emas 50 Tahun BADAN

KUALA LUMPUR, 13 OGOS – Majlis Makan Malam Jubli Emas 50 Tahun Badan Kebajikan dan Kemajuan Anak-Anak Melayu Negeri Sembilan di Kuala Lumpur (BADAN) telah diadakan bertempat di Restoran Terapung D’Saji, Taman Tasik Titiwangsa, malam tadi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan hadir untuk bersama-sama anak-anak Melayu Negeri Sembilan meraikan sambutan hari berkenaan.

Dalam majlis sama, Menteri Besar turut melancarkan Kamus Loghat Negeri Sembilan yang diterbitkan hasil idea Pengerusi BADAN, Tan Sri Dato’ Hashim Meon dengan matlamat untuk memelihara bahasa daerah Negeri Sembilan agar terus kekal terpelihara.

BADAN yang telah diasaskan sejak 1967 adalah sebuah pertubuhan anak-anak Melayu Negeri Sembilan yang sentiasa mempunyai iltizam tinggi untuk memastikan kebajikan anak-anak Melayu terpelihara dan memaksimakan pencapaian anak-anak dalam pelajaran.

Dalam ucapannya Menteri Besar berharap agar BADAN terus berperanan sebagai platform untuk mempertemukan anak- anak Negeri Sembilan dan berusaha menjaga kebajikan mereka dengan sebaik mungkin.

“Amalkan sebagai sebuah keluarga besar Negeri Sembilan supaya bersama-sama dapat memupuk perpaduan dan menjaga kebajikan,” ujarnya.

Antara lain, beliau turut menyeru kepadà anak-anak Negeri Sembilan di Kuala Lumpur agar pulang dan tinggal di kampung yang semakin sunyi akibat penghijrahan anak-anak muda ke bandar.

Turut hadir, Mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Dato’ Nika Ujang dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Dato’ Seri Dr Aseh Che Mat.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]