Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, itu adalah tindakan yang sepatutnya atau lazim dilakukan oleh Guan Eng jika yakin beliau tidak terpalit dengan tuduhan tersebut.

“Persoalannya sekarang jika Guan Eng yakin dia tidak bersalah, mengapa dia secara konsisten cuba menangguhkan kesnya yang kini sudah masuk tempoh hampir satu tahun?

“Seperti kata pepatah Melayu `berani kerana benar…’ lawanlah kes rasuah anda di mahkamah,” kata Cheng Guan dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Isnin lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memerlukan orang kena tuduh mengemukakan pernyataan pembelaan sebelum bermulanya perbicaraan adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mempengerusikan panel tiga hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Guan Eng dan ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon bagi mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen itu bercanggah dengan perlembagaan dalam kes rasuah mereka.

Panel itu memutuskan bahawa Seksyen 62 Akta itu ultra vires dengan Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Disember tahun lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan Li Khoon didakwa di Pulau Pinang atas tuduhan rasuah.

Beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk kepentingan diri dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn. Bhd. untuk menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman pada mesyuarat Exco bertarikh 18 Julai 2014. Selain itu, Guan Eng juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan itu, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh kepentingan menerusi pembelian sebuah banglo daripada Li Khoon pada harga RM2.8 juta iaitu bawah daripada harga pasaran RM4.7 juta pada 28 Julai 2015.