Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, dakwaan yang turut mengaitkan mereka sebagai pencuri, perasuah dan penyangak menerusi blog Chedet itu seolah-olah mahu memperlihatkan Dr. Mahathir cukup bersih semasa zaman pemerintahannya.

“Seolah-olah Dr. Mahathir lupa kepada pandangan sarjana tentang pemerintahan beliau. Baca buku Khoo Boo Teik, Paradoxes of Mahathirism: An Intellectual Biography of Mahathir Mohamad (1995) dan John Hilley, Malaysia: Mahathirism, Hegemony and the New Opposition (2001). Baca juga buku lain oleh D.K. Mauzy, G. P. Means, Harold Crouch, William Case, K.S. Jomo dan E. T. Gomez.

“Hasil kajian mereka tentang pemerintahan beliau bermuara pada rumusan berikut, Dr. Mahathir memerintah dengan prinsip Machiavellian, mengamalkan penaungan politik serta amalan kronisme dan nepotisme,” kata­nya dalam catatan di blog beliau hari ini.

Salleh Said berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sewajarnya berasa malu kepada diri sendiri di atas beberapa kesilapan dalam membuat keputusan terutama berkaitan polisi syarikat dan pelaburan negara.

Beliau turut mengingatkan Dr. Mahathir supaya jangan kerana sudah tidak lagi bersama UMNO beliau mahu menjadi seperti kata pepatah ‘bagai ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul’.

Sebaliknya, adalah lebih baik untuk semua pihak belajar daripada sejarah silam supaya tidak berterusan membuat kesilapan.

“Sekadar mengingati kembali sejarah, tidakkah beliau ingat pada pelaburan berisiko yang telah dilakukan oleh Bumiputra Malaysia Finance (BMF) di Hong Kong? Tidak ingatkah kepada kerugian Maminco untuk mengawal harga timah? Tidak ingatkah kepada kerugian syarikat Perwaja Steel? tidak ingatkah kepada skandal Forex dan penswastaan Malaysia Airlines (MAS)?

“Apa yang terjadi kepada semua syarikat dan pelaburan di atas? rugikah? untungkah? bermaruahkah?. Jika Dr. Mahathir ingat kepada semua perkara ini, tidakkah Dr. Mahathir juga berasa malu dengan apa yang telah terjadi,” katanya.