Kategori Berita Nasional

Tiada Cadangan Tubuh RCI Siasat FELDA, FGV

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemelut yang melanda FELDA dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

“Kerajaan belum berhasrat untuk menubuhkan RCI bagi isu FELDA dan FGV memandangkan belum ada keperluan berbuat demikian buat masa ini dan tindakan perlu telah diambil bagi menangani isu-isu berbangkit,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Razali menjawab soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan bilakah RCI akan ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci kerugian berpuluh bilion ringgit di FGV dan FELDA, selain mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab.

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad serta tiga pegawai pengurusan kanan FGV bercuti bermula 6 Jun lalu.

Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Isa dilaporkan berkata arahan bercuti itu bagi membolehkan siasatan dalaman berhubung urus niaga FGV dan Safitex Trading LLC, sebuah syarikat Afghanistan.

Pada 7 Jun, Zakaria dilaporkan tampil di ibu pejabat SPRM di sini berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV bagi memberi keterangan tentang beberapa isu termasuk mengenai tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada anak syarikat FGV iaitu Delima Oil Products.

Selepas itu pada 19 Jun, Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dilantik menggantikan tempat Isa.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]