Kategori Berita Bergambar

N.Sembilan Perakui Peranan Mufti Bertaraf Exco Sejak 2006

WISMA NEGERI, 09 OG0S – Negeri Sembilan sudah meletakkan Mufti bertaraf Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan bergelar Yang Berhormat (YB) sejak 2006 lagi kerana memperakui peranannya dan meletakkannya pada kedudukan yang tinggi dalam bidang agama.

Demikian dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan dalam sidang media di Wisma Negeri ketika diminta mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom di persidangan Dewan Rakyat kelmarin yang menyarankan agar jawatan Mufti diberi taraf Exco di peringkat negeri masing-masing bagi membolehkan pandangan mereka dalam mesyuarat berkenaan disalurkan kepada kerajaan.

Bagaimanapun Menteri Besar berkata, di Negeri Sembilan jawatan Mufti diletakkan berstatus Exco tetapi bukanlah menjadi ahli tetap Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, tidak ada keperluan Mufti diletakkan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan kerana dalam mesyuarat berkenaan jarang membincangkan hal berkaitan agama disebabkan ia diputuskan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) iaitu di Negeri Sembilan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Katanya, sekiranya Kerajaan Negeri mempunyai sebarang isu berkenaan hal ehwal agama Islam biasanya hal ini akan dirujuk kepada JAIN dan majlis penuh akan bersidang. Apa jua pandangan dan keputusan, Mufti yang berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri akan meneliti dari segi perundangan dan hukum.

“Selagi ia selaras dengan syariat maka apa sahaja yang diputuskan olehnya akan dibawa kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin. Jika perlu membuat peruntukan perundangan, ia akan dibawa ke mesyuarat Kerajaan Negeri untuk disahkan sahaja,” ujarnya mengakhiri.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]