Kategori Berita Bergambar

Sambutan Hari Guru Peringkat Port Dickson 2017 Dirasmikan

PORT DICKSON, 08 OGOS – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan telah merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Port Dickson 2017 di Dataran Seri Kemang, hari ini.

Dalam majlis yang sama turut diadakan Anugerah Tokoh Guru Daerah Port Dickson yang telah dinobatkan kepada Dato’ Abdullah Mohamad.

Diadakan juga penyampaian Anugerah Hari Guru bagi Anugerah Ikon Guru ICT yang diterima oleh Nurul Ashikin Amiruddin dari Sekolah Kebangsaan Telok Kemang dan Anugerah Ikon Guru Komited yang diterima oleh Tang Lee Chou dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa.

Selain itu, diadakan juga Anugerah Khas Hari Guru bagi Anugerah Khas Kapal Layar yang diterima oleh Lawrence Yeow Eng Leong dari Sekolah Menengah Teknik Port Dickson dan Anugerah Khas Bola Sepak yang diterima oleh Adnan Md Din dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Samad.

Menteri Besar dalam ucapannya menyeru agar Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson meneruskan usaha dalam program PD Win (Wise, Innovative dan Noble) yang dibangunkan oleh mereka.

PD Win adalah program bagi membantu pegawai-pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua-pengetua, guru-guru besar dan guru-guru dalam aspek kepimpinan, kualiti guru, kemenjadian murid dan hubungan timbal balik dengan komuniti.

Melalui program ini, diharapkan warga pendidik dan murid-murid akan berwatak sedemikian rupa dalam mendepani cabaran globalisasi.

Menurut Menteri Besar, program ini adalah suatu usaha yang baik dalam membangunkan agenda pelajaran di negara ini, khususnya di Negeri Sembilan.

“Yang menarik perhatian saya berkenaan dengan Konsep PD Win, ia menyamai Sekolah Amanah tanpa kita berbelanja sebanyak seperti mana yang dibelanjakan oleh Sekolah Amanah.

“Ini satu perkara yang amat baik untuk menjadikan pelajaran sebagai suatu agenda utama,” katanya.

Turut hadir, Exco Pendidikan dan Kesihatan, Dato’ Haji Shamshulkahar Haji Mohd Deli; Exco Pelancongan, Dato’ Haji Tun Hairudin Abu Bakar; ADUN Linggi, Dato’ Haji Abdul Rahman Mohd Redza dan Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri, Tuan Pkharuddin Haji Ghazali.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]