Kategori Berita Bergambar

1 Juta Benih Anak Udang Galah Dilepaskan di Sungai Timun

REMBAU, 08 OGOS – Kira-kira 1 juta benih anak udang galah yang bernilai RM120,000 telah dilepaskan di Perairan Sungai Timun, Rembau, hari ini.

Majlis perasmian dan pelepasan benih anak udang galah itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan di Pengkalan Nelayan Sungai Timun, pagi tadi.

Jabatan Perikanan Negeri Sembilan bukan sahaja mencipta satu rekod Malaysia tetapi telah mencatat sejarah baharu dalam usaha pemuliharaan sumber perikanan negara, khasnya di Negeri Sembilan.

Menteri Besar dalam sidang media berkata, benih anak udang dan ikan perlu dilepaskan sebanyak mungkin secara berterusan bagi menampung kekurangan kedua-dua sumber makanan ini.

“Usaha Jabatan Perikanan dan Kerajaan Negeri Sembilan bersama-sama untuk kita menambah stok ikan dan udang kerana ia berkurangan akibat cara penangkapan yang tidak dilakukan dengan sempurna,” ujarnya.

Jelas beliau, pada ketika ini ramai yang hendak meraih keuntungan segera tetapi buat kerja mudah sehingga sanggup meracun sungai, menggunakan bom dan arus elektrik.

Dalam pada itu, Menteri Besar juga berkata, beliau mahu agar penjanaan ekonomi di negeri ini tidak bergantung kepada sektor pembuatan sahaja tetapi turut menggerakkan sektor pertanian dan pelancongan.

Justeru itu, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri di setiap kawasan merancang sebanyak 10 program pelepasan benih ikan.

Program ini telah dilaksanakan di daerah Jelebu, Tampin, Jempol dan Kuala Pilah dengan jumlah benih yang dilepaskan ialah sebanyak 150,000 ekor ikan melibatkan ikan lampam sungai, baung, kelah, kerai, patin dan terbul.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri merangkap ADUN Kota, Dato’ Dr Haji Awaludin Said; Exco Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap ADUN Labu, Dato’ Haji Hasim Rusdi; ADUN Linggi, Dato’ Haji Abdul Rahman Mohd Redza dan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Ismail Abu Hassan.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]