Seorang peserta yang memper­kenalkan diri sebagai Ahmad dan telah mengundi seba­nyak dua kali dalam pilihan raya umum mempersoalkan siapa yang ba­kal menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya kelak, namun mendapat jawapan si­nis daripada Hishamuddin.

“Siapa Perdana Menteri itu tidak penting kerana soalan itu soalan bangang, beli lembu pun belum tetapi dah sibuk nak letak lembu di mana,” jawab Hishamudin.

Seorang lagi peserta yang memperkenalkan diri sebagai Haris mendakwa, dia merupakan pengikut tegar zaman reformasi dahulu dan lantang melabelkan kesemua pemimpin pembangkang hari ini sebagai badut kerana tidak belajar daripada kesilapan lalu.

“Kami dah letih nak mende­ngar badut-badut semua ini menyampaikan ceramah politik. Dahulu kutuk dan hasut kami mengenai Mahathir, kata dia bapa segala kejahatan, tetapi hari ini gembira menjalin kerjasama de­ngan Maha Firaun itu?

“Dulu kutuk Mahathir, sekarang bekerjasama dengan Mahathir kutuk Najib. Esok lusa turun bekerjasama pula dengan Najib? Tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu!” katanya sebelum meninggalkan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) tempat forum itu berlangsung setengah jam sebelum program itu ber­akhir pukul 11 malam.

Sementara itu, Michael Jeyakumar yang juga Ahli Parlimen Su­ngai Siput cuba memberi penjelasan kepada peserta iaitu pembangkang memerlukan Dr. Mahathir untuk mendapatkan undi orang Melayu di kawasan kampung kerana majoriti mereka masih percaya terhadap kepemimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Kita nak masukkan Dr. Ma­hathir sebab sebelum ini kita gagal mengurangkan kekhuatiran orang Melayu yang kebanyakannya bimbang jika pembangkang menang, segala subsidi yang di­terima akan ditarik balik,” katanya.
 Mohamad pula mengakui mes­kipun Dr. Mahathir menjadi pe­ngerusi dalam pembangkang, barisan kepemimpinan tertinggi lain berperanan seperti diktator terhadapnya.

“Soal diktator atau kuku besi, kami telah mengadakan mesyua­rat rasmi dan tidak rasmi berkali-kali, banyak cadangan beliau ditolak oleh kami. Orang muda perlu berfikir luar daripada kotak sebab yang ditimpa masalah hingga masuk ke penjara, didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) gara-gara Dr. Mahathir sebelum ini ialah kami, tetapi kami telah pun memaafkannya,” katanya.

Isnin lalu, Otai Reformis 1998 secara konsensus menolak keha­diran Dr. Mahathir dalam Pakatan Harapan dan berhasrat memboikot kempen parti yang disertai oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata, penolakan itu dibuat kerana merasakan bekas Perdana Menteri itu bukan calon yang layak untuk dijadikan sebagai pemimpin contoh kepada pakatan tersebut.