Kategori Berita Nasional

Rakyat Tempatan Dikecualikan Cukai Pelancongan

KUALA LUMPUR  – Kerajaan memutuskan bahawa cukai pelancongan tidak dikenakan kepada rakyat Malaysia yang menginap di semua jenis premis penginapan termasuk hotel yang tiada bintang hingga lima bintang.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang memberitahu, cukai berkenaan hanya melibatkan pelancong asing sahaja.Menurutnya, kadar cukai yang akan dikenakan kepada pelancong asing adalah sebanyak RM10 bagi setiap bilik semalam merentasi semua taraf hotel.

“Selain itu, cukai pelancongan juga tidak akan dikenakan ke atas premis penginapan yang mempunyai lima bilik dan ke bawah.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan peka dengan kebimbangan yang disuarakan oleh rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Tambahan pula, ini juga merupakan salah satu usaha merancakkan pelancongan domestik,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (DAP – Seremban) yang ingin mengetahui status terkini pelaksanaan cukai pelancongan pada sesi pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas mengenai kadar RM10 yang akan dikenakan kepada pelancong asing, Mohamed Nazri memberitahu, sebanyak RM1 bagi setiap RM10 yang dikutip akan dikembalikan kepada negeri-negeri bagi tujuan promosi sektor pelancongan.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung akan membantu pertumbuhan industri kecil dan sederhana, seterusnya menjana ekonomi setempat.

“Selain itu, kerajaan turut mengambil kira kebajikan pengusaha industri luar bandar dengan menetapkan pengecualian cukai pelancongan kepada semua inap desa dan ‘Kampungstay’ yang telah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

“Pengecualian ini melibatkan 201 kluster inap desa diusahakan oleh 3,901 pengusaha yang menawarkan sebanyak 5,474 bilik untuk pelancong berdasarkan pendaftaran sehingga Jun 2017,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, hasil pertemuan dengan wakil Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), beliau secara dasarnya telah bersetuju supaya pengecualian cukai kepada tempahan awal mengikut tempoh berakhir 31 Mac 2018 akan dikenakan bermula pada 1 April 2018.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]