Kategori Berita Bergambar

Pelepasan Ziarah Sahur IPT 2017

SEREMBAN, 15 JUN – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan telah menyempurnakan pelepasan Program Ziarah Sahur Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2017 bertempat di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Seremban, malam tadi.

 Beliau ditemani Isteri, YM Raja Datin Seri Dato’ Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.
Ziarah Sahur IPT 2017 anjuran Pertubuhan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (MANIS) dengan kerjasama MAINS dan Utusan Malaysia ini mengedarkan sebanyak 2,100 bungkusan makanan juadah bersahur ke IPT, balai polis, bomba dan hospital di sekitar daerah Seremban dan Nilai.
Selepas pengagihan makanan, para peserta yang terdiri daripada kalangan mahasiswa berkumpul di Masjid Hussain Seremban 2 untuk bersahur serta menunaikan solat Subuh berjemaah.
Menteri Besar ketika ditemui media melahirkan rasa sukacitanya melihat komitmen yang diberikan mahasiswa dalam membuat kerja-kerja amal walaupun sedang belajar dan berada di musim peperiksaan.
Katanya, keadaan ini jelas menunjukkan hasrat mahasiswa yang ingin memberikan sumbangan khidmat bakti dalam usaha menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan.
“Jelas sekali bahawa mereka perlukan platform. Jadi platform ini diadakan melalui banyak persatuan-persatuan di IPTA dan ditubuhkan satu persatuan payung dipanggil MANIS yang sentiasa didokong oleh MAINS serta Yayasan Negeri Sembilan,” ujarnya.
Turut hadir, Setiausaha MAINS, Tuan Kamal Amran Kamarudin; Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Dato’ Hassan Mohd Noor; Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Malaysia, Encik Ainul Amriz Ismail; Rektor UITM Negeri Sembilan, Prof Dr Nasrudin Mohammed dan Penolong Rektor UiTM Kampus Seremban, Prof Madya Mohammad Nor Othman.





UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]