Kategori Berita Nasional

Penjawat Awam NS Perlu Tahu Sejarah Adat Perpatih

SEREMBAN, 13 JUN – Penjawat awam yang baharu memulakan tugas di negeri ini perlu mengetahui sejarah dan Adat Perpatih yang sekian lama diamalkan di Negeri Sembilan bagi menjadi panduan kepada mereka dalam menjalankan tugas.

Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Aziz Mohd Gorip berkata, pengetahuan itu juga dapat membantu usaha-usaha memulihara dan mengekalkan warisan sejarah serta budaya Negeri Sembilan yang diamanahkan kepada LMNS.

“Hari ini seramai sembilan orang Pegawai Tadbir dan Diplomatik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan melakukan lawatan ke Muzium Negeri di sini, bertujuan untuk mengetahui sejarah dan pengamalan Adat Perpatih di negeri ini. Difahamkan kesemua mereka baharu sahaja melaporkan diri,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata diharapkan lawatan itu dapat memberi gambaran yang jelas mengenai sejarah negeri serta Adat Perpatih kepada pegawai terbabit.

Sesi lawatan bermula dengan mereka mendengar taklimat mengenai sejarah penubuhan LMNS dan muzium-muzium di bawahnya serta pengamalan Adat Perpatih yang disampaikan oleh Aziz.

Selain itu, mereka turut dibawa melawat galeri pameran yang terdapat di Muzium Negeri serta Istana Ampang Tinggi dan Rumah Tradisional Negeri Sembilan. – Bernama






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]