Kategori Isu Politik Terkini

Kerajaan BN Tak Pegang Falsafah Ekonomi Kapitalisme Terbuka – PM

TAIPING, 08 JUN – Kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak berpegang kepada falsafah ekonomi kapitalisme terbuka, sebaliknya mengamalkan konsep campur tangan kerajaan secara membina dan konstruktif, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menegaskan pendekatan sedemikian penting bagi memastikan bantuan dapat diberikan bukan secara pukal tetapi bersasar khususnya kepada individu dan keluarga yang memerlukan bantuan.

“Jika kita senaraikan bantuan yang telah atau sedang diberikan kerajaan, maka amat jelas kerajaan kita adalah kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat sepanjang masa.

“Inilah kerajaan kita dipimpin UMNO dan BN di mana kita tidak membiarkan ekonomi negara kita terus berkembang di mana yang kuat akan lebih berjaya, maka yang kaya akan terus menjadi lebih kaya dan menyebabkan jurang pendapatan semakin melebar,” katanya ketika berucap pada Program Jom Bantu Rakyat dan Ziarah Kasih Ramadan Al Mubarak Yayasan Tabung Haji Malaysia 2017 Parlimen Bukit Gantang di sini Rabu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Najib berkata kerajaan melancarkan pelbagai program bantuan sebagai usaha membantu rakyat terutama mereka daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Perdana menteri memberi contoh program Jom Bantu Rakyat hari ini iaitu bantuan berupa rumah baharu diberikan kepada dua penerima yang kurang berkemampuan

“Program ini dijalankan di seluruh negara melibatkan peruntukan sebanyak RM19 juta dan daripada jumlah itu RM8 juta adalah sumbangan UMNO, RM4 juta oleh kerajaan pusat dan RM7 juta merupakan duit zakat Tabung Haji ” katanya.

Katanya, program itu akan diperluaskan ke seluruh negara dan banyak lagi mereka yang memerlukan akan menerima bantuan.

Perdana menteri berkata Yayasan Tabung Haji turut menyalurkan bantuan menggunakan wang zakat kepada golongan asnaf. – BERNAMA






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]