Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, dalam kejadian pukul 12.05 tengah hari itu, pengurus bank berkenaan menerima panggilan ugutan itu daripada seorang lelaki tempatan.

“Suspek meminta pengurus bank supaya mengeluarkan wang tunai RM300,000 dan menyerahkan kepadanya di Masjid Al-Mukarramah Bandar Sri Damansara. Sekiranya permintaannya tidak ditunaikan bank itu akan diletupkan.

“Bimbang keselamatan diri, pelanggan dan kakitangannya, pengurus tersebut melaporkan kejadian kepada pihak polis,” katanya di sini hari ini.

Jelas Mohd. Zani, susulan laporan yang diterima, pihaknya meminta kesemua pekerja dan orang ramai untuk mengosongkan premis selain memeriksa keseluruhan bangunan.

Ujarnya, pihaknya juga telah mendapatkan bantuan daripada pihak Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi mengesan sebarang objek yang mencurigakan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati panggilan yang dibuat oleh suspek itu dibuat dari sebuah pondok telefon awam di Shah Alam.

“Kita tidak pasti apa motif individu berkenaan membuat panggilan tidak berasas ini namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi me­ngesan in­dividu yang tidak bertanggungjawab itu.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE