Lebih menyedihkan, bayi lelaki seberat 2.5 kilogram dan masih bertali pusat itu dipercayai ditinggalkan bersama sisa sampah sekitar pukul 10 malam semalam sebelum ditemukan hari ini.

Ketika ditemukan kira-kira pukul 6.20 pagi, bayi yang masih bernyawa dan cukup sifat itu juga didapati mengalami kecederaan berhampiran telinga kanan, dipercayai terkena sisa sampah yang tajam.

Seorang saksi, Khairudin Yaakob, 56, berkata, bayi tersebut ditemukan ditinggalkan di dalam tong sampah di hadapan rumahnya dengan dibalut kertas surat khabar oleh seorang lelaki yang baru pulang dari sembah­yang subuh di masjid berhampiran.

“Sejak malam tadi saya dan keluarga mendengar bunyi di luar rumah tetapi menyangkakan ia bunyi kucing. Saya membuka tong sampah di hadapan rumah tetapi tidak berjumpa apa-apa.

“Bagaimanapun bunyi yang disangkakan kucing itu berlarutan sepanjang malam. Saya terkejut apabila diberitahu ada seorang bayi di dalamnya,” katanya ketika ditemui di rumah­nya di sini hari ini.

Menurut Khairudin, dia berasa sedih apabila memikirkan keadaan bayi itu yang ditinggalkan semalaman di dalam tong sampah berkenaan yang bertutup dan berbau busuk.

Ujarnya, dia menganggap kuasa Allah yang membolehkan bayi berkenaan bertahan dan masih bernyawa ketika ditemukan termasuk tidak ada semut yang menghurungnya.

“Sejurus selepas penemuan bayi ini, saya menghubungi polis dan mereka datang mengambilnya untuk tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian ber­kenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi.