Penetapan harga barangan terkawal tersebut diumumkan oleh menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini dengan tempoh kuat kuasa selama tujuh hari dari 25 hingga 31 Mei bagi Pesta Kaamatan dan 27 Mei hingga 2 Jun bagi Hari Gawai.

Katanya, barangan kawalan tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, kepak ayam, telur ayam gred A, B dan gred C, daging kerbau import (India), bawang merah kecil (India), bawang putih (China), daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak) dan babi hidup.

Hamzah berkata, undang-undang mewajibkan peniaga menjual barangan terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan harga yang ditetapkan. Individu boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala pertubuhan/syarikat, denda maksimum tidak melebihi RM500,000 atau boleh dikompaun sehingga RM250,000.

“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda RM10,000 atau dikenakan kompaun RM5,000 manakala bagi syarikat boleh didenda RM20,000 atau dikenakan kompaun sehingga RM10,000,” katanya di sini. – BERNAMA