Kategori Berita Bergambar

Negeri Sembilan Cadang Kenakan Syarat Penerima APC Bukan Dari Kalangan Perokok

WISMA NEGERI, 18 MEI – Kerajaan Negeri Sembilan bercadang akan mengenakan syarat kepada Penjawat Awam yang hendak mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) supaya dipilih bukan daripada kalangan perokok dan mereka mestilah mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) yang baik.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, syarat tersebut dikenakan supaya penerima anugerah tersebut benar-benar menjadi contoh yang baik di kalangan rakan sekerja dan mempunyai kesihatan yang baik.

Menerusi syarat ini, mana-mana Penjawat Awam yang tertangkap kerana merokok maka markah mereka akan ditolak.

Menurut beliau, syarat tersebut sesuai dilaksanakan dalam APC, malahan ia dilihat tidak menindas atau tidak berlaku adil terhadap Penjawat Awam berbanding sekiranya mengenakan tindakan disiplin atau tidak dinaikkan pangkat.

“Saya tidak mahu meletakkan peraturan yang tidak adil dan menindas tetapi kita hendak anggota Penjawat Awam di Negeri Sembilan cergas dan sihat,” ujarnya dalam sidang media di Wisma negeri, hari ini.

Penjawat Awam Dinasihat Jaga Integriti

Dalam sidang media itu, Menteri Besar turut menasihatkan Penjawat Awam di Negeri Sembilan agar menjaga integriti dan tidak terlibat dengan masalah-masalah yang boleh mencemar nama baik sendiri, keluarga dan pasukan Penjawat Awam.

“Integriti yang satu-satunya yang kita mesti ada ialah jati diri yang kuat. Jangan letakkan tanda harga di dahi kita,” ujarnya tegas.

Beliau meminta agar Penjawat Awam mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menjebakkan diri dengan masalah-masalah yang boleh menjejaskan maruah dan harga diri termasuk rasuah dan pecah amanah sebagaimana yang kerap dilaporkan di akhbar-akhbar.

“Pepatah orang Negeri Sembilan kata, ‘Malu itu tidak boleh diagih’. Malu seorang maknanya malu sekampung. Malu seorang, satu keluarga malu… dan malu seorang, bermakna malu satu pasukan Penjawat Awam,” katanya.

Beliau menyeru agar Penjawat Awam tidak melihat kepada kekayaan atau terlalu mengikut kehendak hati kerana ramai lagi yang hidup miskin, sengsara dan terkial-kial untuk hidup.





UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]