Kategori Berita Bergambar

Anugerah Medan Selera ‘Bersih Selamat & Sihat’, Galak Pengusaha Kekalkan Kebersihan

WISMA NEGERI 18 MEI – Anugerah Medan Selera Bersih Selamat dan Sihat 2017 Peringkat Negeri Sembilan yang dianjurkan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh Kementerian Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diadakan sebagai satu insentif untuk menggalakkan pengusaha dan pemilik premis makanan mengekalkan kebersihan di premis mereka.

Berikut dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dalam sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan ini di Wisma Negeri, hari ini.

Menurut beliau, anugerah ini diadakan dua tahun sekali, kali ketiga diadakan sejak diperkenalkan pada 2014 dan terbuka kepada semua medan selera sama ada yang beroperasi di bawah penyeliaan PBT mahupun swasta.

Antara lain, anugerah ini diadakan bagi memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai selamat dan pengendali makanan pula sentiasa mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

Katanya, JKNS dan PBT sentiasa mengadakan kempen dan pemeriksaan ke atas premis-premis makanan secara berterusan dari semasa ke semasa.

Pada tahun ini, sehingga April 2017 sebanyak 32 Operasi Premis Makanan telah dijalankan di semua daerah di Negeri Sembilan melibatkan sejumlah 387 premis makanan.

Beliau turut melahirkan rasa kebimbangan kerana daripada 1,897 premis makanan yang diperiksa, sebanyak 66 premis (3.5 peratus) telah diperintahkan ditutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana didapati mempunyai tahap kebersihan yang kurang memuaskan, tidak selamat dan tidak sihat. Ia termasuk restoran yang menyediakan masakan tomyam, restoran  24 jam dan gerai-gerai.

Menjelang Ramadan yang akan disambut oleh umat Islam tidak lama lagi, Menteri Besar turut mengingatkan kepada pengendali bazar Ramadan supaya mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan memastikan amalan kebersihan diri dan pengendalian makanan yang bersih dan selamat, sekurang-kurangnya peniaga menerima suntikan anti tifoid.

Mana-mana peniaga yang didapati tidak mengikut peraturan, mereka akan diarahkan tutup gerai.

Pada masa sama, Menteri Besar juga mahu agar medan-medan selera diurus dengan baik, sentiasa menjaga kebersihan supaya apabila orang luar datang ke Negeri Sembilan mereka akan selesa.

Beliau menyeru kepada orang ramai supaya tidak terlalu mengikut selera semata-mata tetapi memilih restoran atau gerai yang bersih dan elok.

“Di Negeri Sembilan kita hendak supaya semua operator-operator yang menjual makanan memastikan makanan yang dijual bersih dan selamat. Orang yang mengendalikan medan selera ini mesti sihat dari segi pematuhan kesihatan menerusi garis panduan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan dan PBT,” ujarnya mengakhiri.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]