Kategori Berita Nasional

Penggiat seni ‘suri teladan’ hala tuju TN50

PUTRAJAYA, 18 Mei  – Perdana Menteri, Datuk Seri  Najib Tun Razak mengiktiraf penggiat seni sebagai suri teladan  yang berpengaruh dalam memacu hala tuju negara dan pembentukan gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Beliau berkata, pengaruh penggiat seni bukan sahaja boleh membentuk hala tuju negara dalam industri kreatif dan hiburan sahaja  tetapi juga dalam membentuk rupa bangsa negara dan masyarakat cemerlang.

“Penggiat seni adalah suri teladan yang cemerlang dan tiada tolok bandingnya. Mereka membentuk generasi dan mengangkat martabat negara dan menjadi aspirasi negara,” katanya pada sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Perdana Menteri di Seri Perdana di sini malam ini.

Moderator bagi sesi dialog tersebut dikendalikan  pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor. Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Sebagai mengiktiraf penggiat seni, Najib menjemput penggiat seni ke Dewan Bankuet Seri Perdana, yang merupakan venue di kediaman rasmi Perdana Menteri, tempat beliau meraikan pemimpin ​​dunia  berpengaruh seperti Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, Presiden China Xi Jinping dan bekas Presiden Amerika Syarikat  Barack Obama.

Najib berkata penggiat seni merupakan satu kumpulan penting yang tidak boleh dipinggirkan.

“Kita harus meletakkan mereka di arus perdana negara kita,” katanya.

Najib menyifatkan golongan penggiat seni sebagai komponen masyarakat yang penting yang mampu berkomunikasi dengan rakyat dalam apa jua persembahan.

Najib berkata penggiat seni penting dalam menentukan masa depan negara dan memastikan Malaysia tidak diperlekehkan.

“Kita mesti tentukan satu hari nanti Malaysia merupakan negara kelas pertama,” katanya.

Najib berkata penggiat seni Malaysia boleh memainkan peranan menjenamakan Malaysia dalam industri seni di peringkat antarabangsa.

Mengambil contoh industri hiburan Korea yang berjaya menjenamakan negara itu, Najib berkata beliau juga mahu nama Malaysia tersohor di pentas antarabangsa melalui tokoh seni negara.

“Seperti K-pop yang menjenamakan Korea sehingga mendapat tempat di peringkat antarabangsa, kita nak branding (jenamakan) Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kira-kira 300 penggiat seni hadir pada sesi dialog itu dan antara cadangan yang dikemukakan secara langsung kepada perdana menteri  adalah mengenai percukaian, kebajikan artis veteran, tabung kebajikan artis, cara meningkatkan pendapatan penggiat seni. – Bernama






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]