Kategori Berita Bergambar

Aktiviti Kokurikulum Dilihat Pupuk Budaya Kesukarelawanan

RANTAU, 17 MEI – Aktiviti kokurikulum yang diadakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia termasuk Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia dilihat dapat meningkat dan memupuk budaya kesukarelawanan di kalangan para pelajar.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-27 di Rantau Eco Park, hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata penyertaan pelajar dalam bidang kesukarelawan amat dipuji kerana di Malaysia penglibatan masyarakatnya tidak tinggi dalam bidang ini jika dibandingkan dengan negara maju.

Seramai 572 peserta daripada kontinjen 13 negeri terlibat dalam perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat bagi tahun 2017.

Perkhemahan ini diadakan selama empat hari bermula 17 sehingga 20 Mei.

Dalam program ini Menteri Besar juga turut melancarkan Pasukan Bomba Komuniti bagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Rantau.

Hadir sama, Exco Pendidikan dan Kesihatan, Dato’ Haji Shamshulkahar Haji Mohd Deli; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato’ Wira Haji Wan Mohd Nor Haji Ibrahim dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]