Kategori Berita Bergambar

Anak-Anak Perlu Dididik Dengan Toleransi – MB

RANTAU, 17 MEI – Anak-anak perlu dididik dengan semangat toleransi bagi mengelakkan lebih banyak masalah pada masa akan datang.

Berikut dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dalam ucapan perasmian di Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) DUN Rantau di Dewan Orang Ramai Rantau, hari ini.

Sebanyak empat buah sekolah terlibat dalam mesyuarat ini iaitu SJKT Ladang Sagga, SJKT Rantau, SJKT Linsum dan SJKT Ladang Shanghai.

Menteri Besar turut menyeru agar ibu bapa tidak mendidik anak-anak untuk membenci antara satu sama lain.

“Ajar anak-anak untuk terus saling faham memahami antara satu sama lain.

“Ajar anak kita supaya mempunyai semangat toleransi. Jangan ajar mereka sikap membenci antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata keamanan, ilmu dan perpaduan adalah asas penting dalam membangunkan sebuah negara.

Jelasnya, banyak negara luar walaupun mempunyai sumber kekayaan tapi tidak mampu untuk maju dan membangun kerana keadaan negara yang tidak aman dan tiada perpaduan.

“Kita lihat negara-negara seperti di Benua Afrika. Mereka mempunyai kekayaan hasil bumi tetapi mereka tidak dapat membangunkan negara mereka dengan baik tidak seperti dalam negara kita,” ujarnya lagi.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]