Kategori Berita Bergambar

Anggota Tentera Perlu Kekalkan Budaya Profesionalisme – MB

SEREMBAN, 16 MEI –  Anggota tentera perlu mengekalkan budaya profesionalisme bagi menangkis dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Demikian dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Warga Tentera Darat Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Besar menyelar pihak yang memandang rendah jasa-jasa yang telah ditaburkan oleh anggota keselamatan.

Jelasnya, mereka adalah orang yang tidak pernah lalui kesusahan tetapi hidup senang di atas pengorbanan anggota keselamatan.

“Jangan kecil hati dan kecewa. Teruskan tahap profesionalisme anggota tentera yang mana tentera Malaysia memang terkenal sikap profesionalnya.

“Teruskan kecemerlangan dan budaya profesionalisme yang ada pada diri kita supaya kita dipandang tinggi oleh kawan dan lawan,” katanya.

Menteri Besar juga menasihatkan agar anggota tentera tidak leka dengan keadaan negara yang aman dan sejahtera sehingga lupa tanggungjawab hakiki untuk terus mempertahankan keselamatan negara dan memastikan kemanan serta kedaulatan negara tidak tergugat.

Beliau juga melahirkan rasa khuatir dengan  berbagai-bagai bentuk ancaman di negara ini. Antaranya, tidak jauh daripada persisiran pantai telah menjadi kawasan rebutan kuasa-kuasa besar di Laut Cina Selatan kerana semua pihak mempunyai kepentingan.

“Teruskan usaha untuk mempertahankan benteng negara kita. Teruskan pertahankan persisiran pantai, sempadan dan ruang udara kita,” nasihat beliau mengakhiri.






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]