KEVIN RAMALIN GAM

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, harga tiket itu dikekalkan selepas kedua-dua pasukan tidak membuat sebarang bantahan dan sudah boleh diterima dengan baik dan tiket tersebut boleh dibeli secara terus di Stadium Darul Makmur dan Stadium Darul Aman.

“Harga tiket bagi perlawanan akhir Piala FA di antara Pahang menentang Kedah adalah RM50 termasuk GST (cukai barangan dan perkhidmatan) untuk tiket dewasa manakala RM 5 adalah harga bagi tiket untuk penyokong kanak-kanak.

“Saya fikir tiada sebarang isu mengenai harga tiket dan saya anggap harga tersebut adalah normal. Ini merupakan final ketiga dalam tempoh dua tahun kita menjual tiket berharga RM 50 selepas kali pertama melakukannya pada final Piala FA tahun lalu.

“Kalau saya nak kata harga tiket tersebut berpatutan saya fikir itu subjektif, terpulang kepada individu. Cuma buat masa sekarang tiada bantahan daripada kedua-dua pasukan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA di Stadium Shah Alam hari ini.

Tambah Kevin, sebanyak 70,000 tiket dewasa dan 2,000 tiket kanak-kanak diperuntukkan untuk perlawanan tersebut malah penyokong bagi kedua-dua pasukan boleh membeli tiket di stadium negeri masing-masing pada Khamis ini seawal pukul 10 pagi.

“Setiap pasukan menerima peruntukkan 32,000 tiket dewasa dan 750 tiket kanak-kanak dan boleh dibeli pada Khamis ini pada pukul 10 pagi manakala penjualan tiket di atas talian pula boleh dibeli bermula pada Rabu ini pada pukul 10 pagi. 6,000 tiket dewasa dan 500 tiket kanak-kanak dijual secara atas talian. Mereka boleh mendapatkannya di www.tickethotline.com.my.

“Penebusan tiket boleh dibuat bermula pada 18 Mei sehingga hari perlawanan bermula pukul 12 tengah hari sehingga 6 petang di Stadium Melawati,” katanya lagi.

Kata Kavin, Stadium Shah Alam dikekalkan sebagai venue perlawanan akhir bagi final Piala FA kerana mereka berdepan kesukaran untuk memindahkan venue terutamanya melibatkan aspek keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat meminta semua penyokong yang ingin menyaksikan perlawanan akhir tersebut tidak membawa beg bagi memudahkan urusan kemasukan mereka ke dalam stadium dan diberi amaran keras supaya tidak membeli tiket perlawanan palsu.

“Penyokong Pahang boleh masuk ke dalam stadium melalui pintu C dan D manakala peminat Kedah di pintu masuk A dan B.

Laluan khas juga disediakan untuk penyokong kanak-kanak.