Program yang dijangka bermula Oktober depan menjurus kepada kegiatan penyelidikan bersama beberapa institusi pengajian tinggi termasuk dari Russia dan China di rangkaian laluan perdagangan yang menghubungkan Asia dengan Eropah itu.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, pihaknya menerima pelawaan itu setelah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan universiti itu baru-baru ini.

“UniSZA tak akan lepaskan peluang ini untuk kita perluaskan lagi kerjasama akademik dan pertukaran pelajar di rantau tersebut (Asia Tengah) selaras dengan visi kami menjadi antara universiti pilihan dunia menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menyampaikan Syarahan Tahunan Naib Canselor UniSZA di kampus universiti itu di Gong Badak dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Dr. Mohamad Yusuf Mohamed Nor dan Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Ahmad Zubaidi menarik perhatian, dalam rangka lawatan sama, UniSZA turut menandatangani MoU dengan beberapa lagi universiti di Kazakhstan bagi penghantaran penuntut cemerlang dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) melalui program pertukaran pelajar.

“Kita dapati universiti-universiti di Kazakhstan berminat mempelajari Bahasa Inggeris daripada kita dan sebelum ini beberapa penuntut universiti negara itu pun telah mengikuti program pertukaran pelajar ke UniSZA bagi tujuan sama,” ujarnya.

Bagi tujuan itu, jelas beliau, UniSZA akan menghantar para pelajar TESLĀ  yang sesuai untuk mengendali program pengajaran Bahasa Inggeris di negara berkenaan awal tahun hadapan.

Selain itu, tambahnya, Jabatan Mufti Kazakhstan turut bersetuju menghantar lebih 20 imam dan bilal negara tersebut bagi mengikuti kursus pentadbiran jangka pendek di kampus UniSZA di sini pada penghujung tahun ini.-UTUSAN ONLINE