Kategori Featured

MB Usul Tangguh Pemilihan UMNO, Fokus PRU14

IMG_1716

SEREMBAN, 29 JUN – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan hari ini membidas anasir-anasir dan pendapat yang menyatakan penangguhan pemilihan UMNO tahun hadapan disebabkan oleh taktik Presiden UMNO, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak mahu meraih simpati dan sokongan.

Menurut beliau, penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan adalah hasil perbincangan dan persetujuan bersama anggota parti dari peringkat bahagian hingga ke peringkat Majlis Tertinggi (MT).

Beliau berkata demikian di sidang media bagi membetulkan kenyataan ‘menteri keyboard’ dan media maya yang digunakan seluas-luasnya untuk mengelirukan mata masyarakat yang mahu melihat parti UMNO runtuh dan jatuh tersungkur.

“Bukan Najib yang usulkan, bahkan saya yang membawa perkara ini. Bagi saya tidak perlu diadakan pemilihan jika ia akan menjadikan kita berpecah.

“Resolusi yang diputuskan ialah lebih baik UMNO menangguhkan dahulu proses pemilihan dan mengutamakan pemerkasaan parti bagi mendepani pilihanraya umum ke-14. Pemilihan bukan sesuatu yang penting kerana ada yang lebih penting iaitu menyiapkan dan memperkasakan parti,” katanya.

Mohamad turut menegur sikap ahli UMNO yang terlalu ghairah dengan tahun pemilihan yang lazimnya akan berlaku perpecahan kumpulan A, B, C dan D sehingga kerja yang sepatutnya diutamakan tidak dibuat.

Mengulas lebih lanjut, beliau mengakui bahawa penangguhan tersebut adalah cadangan dan pendapat beliau sendiri yang tidak mahu parti UMNO menjadi serpihan kecil dan lemah.

Katanya, menjadi rutin mereka yang bertanding akan berkempen sehabis mungkin untuk menyandang jawatan parti sehingga alpa dan lalai dalam agenda pemerkasaan.

Usul berkenaan penangguhan pemilihan UMNO banyak dibincangkan di peringkat bahagian-bahagian dan dibawa ke mesyuarat UMNO.

“Janganlah kita sentiasa sahaja hendak mencari sesuatu yang buruk pada UMNO. Berilah peluang supaya UMNO tidak diteruskan sebagai bahan kejian terutamanya oleh ahli parti sendiri,” ujarnya mengakhiri.

Terdahulu, beliau menerima sebanyak 3,340 kilogram kurma, 3,340 liter air zam zam dan 5,010 pasang kain baju Melayu yang akan diagihkan ke lapan bahagian daripada UMNO Malaysia di Wisma Badan Perhubugan UMNO Negeri Sembilan.

Oleh: DUDI AZIZ






UTAMA PENAFIAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2016 N9KINI.COM

[ Log in ]