Bertemu lagi kita di sini
May 14, 2013 by Dudi
Filed under Pelancongan
Comments Off
Sebelum ke sana, saya mengambil masa dua minggu membaca dan mengumpul fakta berkenaan Dusseldorf dan Cologne. Saya banyak bergantung pada Tripadvisor dan blog-blog dari blogger Indonesia yang pernah ke sana.
Boleh dikata orang Malaysia, agak kurang ke Dussledorf. Saya menghubungi pelajar di Frankfurt melalui blog dan mereka banyak membantu saya memahami sistem trem dan keretapi bawah tanah di sana.
Satu yang menjadi masalah utama di Jerman adalah bahasa. Tetapi, jangan risau, anda boleh bertanya di Tourist Info dan Stesen keretapi atau trem.
Kebanyakan mereka yang bekerja di sini boleh berbahasa Inggeris dengan baik dan jelas.
Perjalanan yang memakan masa 13 jam dari Kuala Lumpur agak memenatkan. Nasib baik kami disajikan cerita yang menarik dan baru. Sempat kami menonton tiga filem sebelum sampai di Dubai, kemudian sambung menonton hingga sampai ke Dusseldorf.
Perbezaan masa Malaysia dan Dusseldorf adalah waktu Malaysia lebih cepat enam jam.
Sampai di Dusseldorf, cuaca dingin mencengkam tulang. Kalau mengikut perkiraan sudah masuk musim bunga dan cuaca dingin sepatutnya tidak seberapa.
Kami silap percaturan! Mungkin lokasi geografinya yang hampir ke Lautan Artik, menjadikan angin yang bertiup sedingin air batu dan bila bertiup ke muka boleh beku. Nasib kami baik, kerana saya sudah bersedia dengan sarung tangan tebal dan pashmina tebal.
Sampai di hotel, saya mandi air panas dan tidur keletihan. Mata terbuka bila jam menunjukkan pukul 2 petang. Itupun kerana badan menggigil kesejukan dan kami terus bersiap untuk keluar memulakan aktiviti jelajah Dusseldorf.
Di sini bermula kesukaran membeli tiket trem kerana semuanya dalam bahasa Jerman. Sangat asing dan berlainan. Kami bertanyakan pada orang awam bagaimana mahu ke Aldstat-Old Town dan Rhienpromenade.
Kebetulan, kami berjumpa mereka yang boleh berbahasa Inggeris, dengan mudah dia memberitahu kami kena turun di hentian Jan Wallem Platz. Dari situ, kami boleh berjalan kaki.
Sistem pengangkutan di Dusseldorf sangat efisien, murah dan tepat masa. Pengguna boleh membeli tiket selama seminggu atau setiap kali menggunakannya.
Kami mempunyai pilihan sama ada menggunakan Trem atau Underground. Yang penting kaji dahulu laluannya baru boleh memilih antara dua pengangkutan ini.
Memang benar, kami turun berhampiran Konigsalle, tempat beli belah yang punya nama-nama besar seperti LV, Michael Kors, Gucci serta banyak lagi.
Di sini terletak sebuah terusan yang amat indah di mata Tripadvisor. Selesai bergambar di Konigsalle, kami terus ke Aldstat atau lebih dikenali Old Town. Ia adalah sebuah tempat yang mempunyai bangunan bersejarah yang masih terpelihara.
Begitu banyak bar dan satu yang saya amati, di Jerman, terkenal dengan budaya minum-minum. Mereka akan berkumpul hujung minggu berjumpa dengan teman-teman, kalau di Malaysia macam budaya lepak di kedai mamak.
Di Aldstat terdapat deretan lorong dan kedai cenderamata. Sangat berbaloi dengan pelbagai pilihan. Pelancong wajib pergi ke lorong bahagian belakang kerana mereka menawarkan harga lebih murah.
Di sini kami memborong magnet peti ais comel pelbagai rupa sebagai cenderamata untuk diberi kepada keluarga dan sahabat handai.
Di Dusseldorf, barangkali juga di Jerman, kelihatan ramai manusia bertemankan anjing peliharaan pelbagai jenis.
Ada berbulu seperti karpet tebal, sangat besar dan tinggi. Ada jenis bulldog bermuka garang. Ini pemandangan biasa di Jerman.
Waktu siang di Dusseldorf pada Mei sangat panjang. Waktu sudah terang seawal jam 5 pagi dan gelap pada pukul 10 malam.
Ini membuatkan kami seronok merancang jalan seharian tapi cuaca yang sejuk boleh membunuh mood untuk bersuka ria.
Akibat cuaca sejuk, badan saya seperti demam dan hidung berdarah, mungkin kerana sudah biasa dengan cuaca panas menyebabkan badan saya terkejut dengan peralihan cuaca.
Dalam cuaca sejuk saya gagahkan juga kerana bukan senang hendak sampai di tempat orang dan apabila ada peluang, saya gunakan sebaik mungkin.
Seterusnya, kami ke Media Hafen, satu tempat di mana pusat senibina dan media di Dusseldorf. Cantik dan unik bangunan yang ada di Media Hafen yang terletak berhampiran Rhein Tower. Salah satu bangunan pelik di sini kerana berkelok-kelok.
Di Dusseldorf untuk mendapat makanan halal agak sukar, tapi jangan risau kerana masih terdapat kedai-kedai kebab halal di Dusseldorf.
Namun, lebih mudah jika anda membawa bekalan makanan kering untuk sarapan kerana kedai makanan halal dibuka selepas jam 10 pagi.
Selain itu, terdapat pilihan buah-buahan segar yang boleh dinikmati sewaktu cuaca sejuk seperti strawberi yang dijual tidak sampai 2 euro (RM8). Besar dan manis! Tambah sedap apabila diminum dengan secawan coklat panas.
Satu lagi tempat yang menjadi sebutan di Jerman adalah Cologne – bandar yang patut dilawati. Mula-mula terfikir, apa yang ada di Cologne, sampai menjadi sebutan.
Tindakan kami menaiki keretapi seawal pukul 7 pagi dan menunggu di stesen Dusseldorf Hoptbanhauf bukan satu langkah bijak.
Cuaca sejuk menyebabkan kami membeli dan meneguk kopi yang masih panas. Lega!
Perjalanan dari Dusseldorf Hoptbanhauf ke Koln hoptbaunhof memakan masa lebih kurang setengah jam ke 45 minit. Sepanjang perjalanan, kami dijamu pemandangan menarik seperti rumah lama dan ladang.
Bandar Cologne terkenal kerana jenama minyak wangi dan ramai menggelarkannya Holy-ius city kerana bandar ini masih mengekalkan ciri tradisional baik dari pembangunan sosial.
Tiba di Cologne (ejaan tempatan Koln), sekali lagi muka kami kebas kerana cuaca sejuk tetapi keluar dari stesen saya terpegun dengan bangunan yang tersergam. Melihat cathederal atau gereja yang tersergam besar, terfikir bagaimana orang dulu membinanya.
Disebabkan kami sampai terlalu awal, kedai masih belum dibuka dan rancangan kami untuk bersarapan terpaksa ditangguhkan.
Kami sampai pukul 8.30 pagi manakala bandar Cologne hanya sibuk pukul 9 pagi. Kami bersiar-siar sambil merakam gambar kenangan di gereja DOM Cologne.
Pukul 9 pagi, kami terus ke Koln Tourist Office bagi mencari maklumat mengenai bandar Cologne.
Tiba-tiba mata saya terpaku kepada sesuatu yang amat menarik – Choo choo train yang boleh membawa kami pusing bandar dengan dua laluan iaitu Schokoladen Museum atau Muzium Coklat dan Zoo.
Kami mengambil keputusan mengambil laluan Schokoladen dengan bayaran 6 euro (RM24) seorang.
Lebih kurang sejam setengah kami menaiki keretapi kerana kami berhenti lama di Muzium Coklat kerana ramai memborong coklat Lindt yang harganya lebih murah.
Kami tidak masuk ke Muzium Coklat kerana banyak habiskan masa lebih kurang setengah jam di kedai coklat.
Kami dapat meninjau dalam Muzium Coklat kerana dindingnya diperbuat daripada kaca, terdapat mesin dan mereka menunjukkan demonstrasi membuat coklat.
Ada coklat dibuat dengan tangan dan ada dibuat menggunakan mesin. Lebih kurang macam cerita Chocolate Factory.
Saya tidak berapa minat melihat bagaimana coklat dibuat tetapi hanya minat makan coklat.
Selepas memborong coklat, kami kembali ke bandar Cologne yang merupakan bandar lama dengan kedai atau bangunan yang masih seperti era kolonial. Mereka tidak mundur tetapi memulihara warisan lama.
Selepas itu kami bertolak pulang ke Dusseldorf lebih kurang jam 3 petang. Masa yang dihabiskan di kedua-dua bandar meninggalkan seribu kenangan.
Dusseldorf dan Cologne, moga kita ketemu lagi di kesempatan yang lain.
Produk pelancongan popular
May 14, 2013 by Dudi
Filed under Pelancongan
Comments Off
BECA mula diperkenalkan di negara ini pada awal 1940-an bagi menggantikan perkhidmatan lanca iaitu sejenis kenderaan penumpang dua roda yang ditarik menggunakan tenaga manusia.
Di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang, perkhidmatan beca pernah menjadi alat pengangkutan utama sekitar tahun 1960-an sehingga penghujung 1980-an.
Namun perkembangan sistem pengangkutan awam yang lebih meluas selepas itu menyaksikan perkhidmatan kenderaan yang berasal dari Jepun itu terus merosot.
Selain tersepit di antara sistem pengangkutan awam moden dan pemilikan kenderaan peribadi oleh rakyat negara ini, kemerosotan perkhidmatan beca turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
Pada hari ini, perkhidmatan beca hanya mampu bertahan di bandar-bandar bersejarah seperti Melaka dan Pulau Pinang yang jelas menunjukkan industri itu bergantung penuh kepada sektor pelancongan negeri.
Di bandar-bandar ibu negeri seperti Kota Bharu, Kuantan, Kuala Terengganu, Ipoh dan Alor Setar, pengangkutan yang bermula sejak dari zaman Inggeris itu turut terpinggir walaupun pernah mempunyai populasi beca yang tinggi suatu ketika dahulu.
Selain permintaan orang ramai yang beralih kepada bas dan teksi, kemerosotan industri itu juga berpunca daripada perkembangan sistem perhubungan jalan raya yang menyebabkan bandar-bandar ibu negeri tidak lagi menjadi hab pelancongan sesebuah negeri.
Perluasan jaringan jalan raya memberi peluang kepada pelancong untuk tiba ke destinasi pilihan mereka terus dari Kuala Lumpur tanpa perlu singgah ke bandar ibu negeri sebagai transit.
Di Kuantan dan Terengganu, perkhidmatan beca terjejas teruk sejak lebih 15 tahun lalu ekoran trend pelancong yang lebih menggemari destinasi pelancongan luar bandar seperti hutan dan pulau.
Pengurangan jumlah pelancong di kedua-dua bandar itu secara tidak langsung menyebabkan ramai pengayuh kehilangan pelanggan dan akhirnya terus bersara.
Selain perubahan landskap sistem pengangkutan negara, kemerosotan industri beca juga berpunca daripada persepsi generasi baru yang menganggap mengayuh beca sebagai pekerjaan yang tidak menjamin masa depan.
Stigma itu menyebabkan sebahagian besar daripada pengayuh beca yang ada pada hari ini ialah golongan warga emas yang sekadar mengayuh demi ‘sesuap nasi’ berbekalkan sedikit tenaga yang masih ada.
Nasib pengayuh bagaimanapun berbeza di Melaka dan Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana mempunyai daya tarikan pelancongan yang kuat.
Pengerusi Persatuan Beca Warisan Negeri Melaka, Md. Salleh Abdul Manab berkata, walaupun rezeki golongan pengayuh tidak menentu tetapi pendapatan pada musim cuti boleh dikatakan agak lumayan.
“Bayaran bagi sejam menaiki beca boleh mencecah harga RM40. Kalau sehari dapat lima pelanggan sudah cukup banyak.
“Pendapatan golongan pengayuh beca kini sudah banyak berubah. Kalau rajin mungkin boleh dapat hingga RM4,000 hingga RM5,000 sebulan,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Beliau berkata, Melaka mempunyai kira-kira 150 buah beca yang beroperasi secara aktif di sekitar Banda Hilir Melaka.
Md. Salleh berkata, jumlah pelancong yang tinggi di negeri itu memberi banyak peluang perniagaan kepada golongan pengayuh.
“Penggunaan beca sememangnya relevan di Bandar Hilir untuk membawa pelancong yang ingin menerokai lokasi bersejarah di Bandar Raya Melaka.
“Pulangan hasil yang lumayan pada musim cuti juga menyebabkan semakin ramai generasi muda berminat untuk mengusahakan beca secara sambilan,” katanya.
Kesejukan melampau
April 2, 2013 by admin
Filed under Pelancongan
Comments Off
PENGHUJUNG Disember lalu, saya mengunjungi beberapa daerah di utara China termasuk Harbin yang merupakan destinasi utama.
Bersama 15 ahli rombongan, semuanya ahli perniagaan wanita yang juga rakan rapat, kami berlepas ke China sehari selepas sambutan Hari Natal.
Tiada penerbangan terus ke Harbin dari Malaysia. Jadi, ejen pelancongan mengatur perjalanan dengan singgah ke beberapa destinasi lain sebelum meneruskan ke daerah yang bersempadan dengan Rusia itu.
Menaiki pesawat China Eastern Airlines, kami berlepas ke Shanghai dengan penerbangan awal pagi.
Setibanya di Shanghai, kami meneruskan perjalanan ke Bandar Shenyang. Suhu ketika itu sekitar 8 darjah Celcius. Ternyata musim sejuk sedang di kemuncak ketika itu. Kami telah bersiap dengan pakaian sesuai.
Di Shenyang, banyak tempat kami lawati. Antaranya istana zaman silam.
Mendengarkan sejarahnya, membuatkan saya gerun. Begitu berkuasa sekali maharaja China zaman lampau, kerana ada yang menyimpan gundik atau perempuan simpanan sehingga beribu orang semasa pemerintahan mereka.
Dua malam di Shenyang, dipenuhi dengan aktiviti lawatan dan membeli-belah. Namun kebanyakan pusat beli-belah hanya menawarkan pakaian musim sejuk.
Hari keempat, kami meneruskan perjalanan ke daerah Changchun.
Changchun dikenali sebagai bandar filem kerana industri perfileman dikhabarkan sangat pesat membangun. Terdapat festival filem Changchun yang menyerupai festival filem Cannes.
Secara berseloroh, pemandu pelancong kami sempat mengusik ahli rombongan supaya mencuba nasib menjadi pelakon.
Selepas Changchun, kami bergerak ke Jilin, satu lagi wilayah yang jarang mendapat perhatian pelancong, bersempadan dengan Korea Utara di selatan.
Changchun dan Jilin juga dikenali sebagai bandar automotif di mana terdapat banyak kilang pembuatan dan pemasangan kereta.
Selain mengeluarkan kereta tempatan, mereka memasang kereta mewah buatan Jerman seperti BMW, Audi dan Volkswagen.
Bandar ini juga menjadi pengeluar gerabak kereta api dan industri berasaskan aloi.
Di Jilin, kami sempat berkunjung ke masjid terbesar di sana dan melihat kehidupan masyarakat Islam yang merupakan golongan minoriti di daerah ini.
Tiada perbezaan waktu antara China dengan Malaysia namun oleh kerana waktu siang pendek di musim sejuk, waktu solat juga agak awal berbanding biasa.
Saya sempat mencuba pelbagai juadah tempatan. Bercakap mengenai makanan, terdapat beberapa restoran Muslim menghidangkan makanan halal. Namun variasi makanan yang ditawarkan kurang membuka selera kerana cara penyediaannya amat berbeza dengan masakan Cina Malaysia.
Saya telah berkunjung ke beberapa provinsi lain di China sebelum ini, daripada pengamatan saya, setiap daerah atau wilayah menghidangkan menu yang berbeza.
Antara wilayah di China yang sedikit hampir dengan selera kita adalah Guangzhou yang terletak di selatan China.
Di wilayah yang kami kunjungi kali ini, kebanyakan restoran cenderung menghidangkan makanan berasaskan daging lembu dengan rasa lebih masin dan berminyak.
Menurut pemandu pelancong kami – anak jati Harbin, mereka menyediakan masakan masin dan berminyak untuk menambah lemak dan menyimpan tenaga yang diperlukan di musim sejuk. Mereka juga cenderung menyediakan menu daripada organ dalaman binatang seperti hati lembu dan perut kambing.
Sebagai seorang penulis buku masakan, saya tertarik mengetahui pelbagai makanan tempatan tetapi secara peribadi, ia kurang menepati selera saya. Ada ketika, saya langsung tidak dapat menelan juadah yang dihidangkan dan ketika itu makanan kering yang dibawa menjadi penyelamat.
Jangan tidak percaya, saya sempat masak nasi lemak untuk hidangan makan malam. Ternyata dalam cuaca sangat sejuk, nasi lemak panas sangat menepati selera kami.
Kekerapan melancong dan mengembara atas tujuan kerja dan peribadi, membuatkan saya sentiasa bersedia dengan bekalan makanan dari tanah air.
Ia amat diperlukan jika menghadapi saat seperti tidak terdapat restoran halal, hidangan tidak menepati selera atau atas faktor lain seperti kebersihan.
Ukiran ais
Hari berikutnya, kami ke destinasi utama iaitu Harbin. Terletak di utara China di Wilayah Heilongjiang dan bersempadan dengan Russia. Pernah dijajah oleh Jepun dan pernah menjadi sebahagian Rusia sebelum diambil ambil oleh China.
Harbin dikenali sebagai bandar militari kerana ekonomi di sini banyak dijana dari industri pembuatan senjata api berskala besar untuk dibekalkan kepada angkatan tentera selain industri pelancongan musim sejuk yang menjadi daya tarikan utama.
Pintu pelancongan musim sejuk biasanya hanya dibuka sejurus selepas hari Natal dan berlanjutan hingga hujung Januari atau awal Februari.
Kemuncak lawatan ke Harbin adalah dengan mengunjungi dua tempat yang menawarkan pemandangan dan suasana yang sangat menakjubkan iaitu Ice carving show dan Snow carving show.
Kedua-dua tempat ini berdekatan antara satu dengan lain. Inilah daya tarikan utama pelancong ke Harbin.
Anda akan terpegun melihat pelbagai ukiran daripada ais dan salji menggunakan tenaga manusia.
Saya takjub melihat bagaimana gigihnya pekerja mengukir arca di bongkah ais yang besar dalam cuaca sangat sejuk melampau.
Hari terakhir di Harbin dipenuhi dengan lawatan sekitar bandar yang masih mengekalkan ciri-ciri Rusia. Oleh kerana suhu yang semakin menurun dan sejuk melampau sekitar -34C, rancangan untuk membeli-belah di jalanan kami batalkan dan pulang ke hotel penginapan.
Satu perkara yang menjadi perhatian, selain bangunan yang masih mengekalkan tulisan dalam bahasa Rusia, kebanyakan penduduknya fasih berbahasa Rusia selain Mandarin.
Keesokan harinya, saya dan rombongan bersiap seawal pagi untuk mengambil penerbangan pulang dari Harbin ke Kuala Lumpur menerusi Shanghai.
Selama lapan hari berkelana, pelbagai kenangan tersimpul di ingatan. Kenangan musim sejuk melampau di Harbin sentiasa terpahat di sanubari.











