37 orang kurang bernasib baik terima sumbangan
KUALA PILAH, 21 Mei – Seramai 37 orang kurang bernasib baik di kawasan Senaling, di sini menerima sumbangan wang tunai dan barangan dapur daripada UMNO Bahagian Kuala Pilah baru-baru ini.

ISMAIL Lasim (kiri) beramah mesra dengan seorang anak kurang upaya (OKU), Azifah Bahari, 15, di Kampung Temeris, Kuala Pilah, baru-baru ini.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim berkata, sumbangan itu disalurkan menerusi gerakan pemimpin turun padang melawat masyarakat desa bagi menyalurkan bantuan dan perkhidmatan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senaling menambah, bantuan itu juga membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib rakyat terutamanya golongan yang memerlukan.
“Di samping itu, ia memberi ruang kepada masyarakat mengadu masalah yang dihadapi kepada wakil rakyat dengan lebih mesra.
“Kita mahu masyarakat sedar bahawa kerajaan adalah tonggak kepada pembangunan rakyat dengan harapan mereka akan menikmati hidup lebih aman, selesa dan harmoni,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan itu di sini baru-baru ini.
Majlis penyampaian sumbangan itu diadakan serentak dengan persidangan tahunan UMNO Cawangan Temeris.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Zainatul Hayati Sadari, 43, berkata, beliau berterima kasih atas keprihatinan Ismail kerana sudi melawat anaknya yang mengalami masalah tidak mampu bertutur dengan baik.
“Kehadiran wakil rakyat seperti ini wajar diteladani dan saya terharu kerana mempunyai wakil rakyat yang sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi masyarakat,” katanya.












