3 insentif bantu pemandu teksi
KUALA LUMPUR: 25 Jun – Kerajaan semalam melancarkan program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) yang menyediakan tiga insentif bagi mengurangkan beban lebih 100,000 pemandu teksi Ketika melancarkan program itu depan 25,000 pemandu teksi di Stadium Bukit Jalil di sini, Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak juga mengumumkan kerajaan akan mengkaji untuk menghapuskan sistem monopoli pajakan teksi kepada syarikat.
Saya tidak suka bila dengar, syarikat dapat banyak lesen teksi. Era kita bagi kepada syarikat individu akan ditamatkan. Dalam model baru ini, kita akan beri kepada individu dalam bentuk sistem baru, di mana kepentingan pemandu teksi individu akan kita jaga dan pelihara sebaiknya. – Datuk Seri Najib Razak.
Turut dikaji adalah melonggarkan syarat skim pinjaman bagi pemilikan teksi baru buatan tempatan yang sekarang dikenakan kadar faedah dua peratus oleh bank tempatan.
Najib berkata, Skim Insurans Perlindungan Kemalangan Diri akan mendapat dana lebih RM1 juta menerusi Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan berkuat kuasa sejurus pemandu teksi mendaftar.
Subsidi sejumlah RM34.84 juta yang disalurkan oleh 1Malaysia Development Bhd pula untuk baucar tayar yang memanfaatkan seramai 67,000 pemandu teksi di seluruh negara.
Beliau berkata, dari segi program jangka panjang yang mungkin mengambil masa satu atau dua tahun untuk dilaksana, kerajaan sedang merangka sistem baru yang bakal mengubah industri teksi negara.
“Saya tidak suka bila dengar, syarikat dapat banyak lesen teksi. Era kita bagi kepada syarikat individu akan ditamatkan. Dalam model baru ini, kita akan beri kepada individu dalam bentuk sistem baru, di mana kepentingan pemandu teksi individu akan kita jaga dan pelihara sebaiknya.
“Ini kerana sistem pajak teksi macam satu bentuk perhambaan moden. Oleh itu, bagi kita sedikit tempoh masa untuk mengkaji sistem baru ini. Kita akan adakan kerjasama dengan SPAD dan persatuan teksi untuk menggubal sistem baru yang disenangi pemandu teksi dan rakyat,” katanya.
- INFO: Skim Insurans Perlindungan Kemalangan Diri Pemandu Teksi
- RM10,000 – kematian akibat kemalangan
- RM10,000 – ketidakupayaan kekal akibat kemalangan
- RM500 – kos rawatan perubatan akibat kemalangan
- RM1,500 – khairat kematian akibat kemalangan
- RM1,000 – khairat kematian biasa
Bantuan Rebat
- RM3,000 melupuskan teksi lama melebihi tujuh tahun tetapi kurang 10 tahun
- RM1,000 teksi berusia 10 tahun ke atas
Baucar Tayar
- RM520 bagi penggantian empat tayar untuk tempoh dua tahun
- Untuk teksi bajet, teksi eksekutif, kereta sewa dan teksi lapangan terbang











