20 tahun Tinggalkan STF Hubungan Dengan Rakan Sekolah Masih Erat

December 16, 2011 by  
Filed under Wanita

Share |

Orangnya serba sederhana, namun di sebalik kesederhanaan itu tersimpan jiwa murni dan penuh prihatin terhadap kesengsaraan insan yang memerlukan. Pertemuan kali pertama dengan Datin Hajah Dr. Siti Aishah binti Abdullah, 42 tahun, ketika dia dan rakan Persatuan Srikandi Tun Fatimah menyerahkan bantuan kepada sebuah keluarga susah di ibu kota.

Beberapa minggu selepas itu, kami bertemu semula. Kali ini lokasi pilihan adalah di kediamannya yang terletak di Putrajaya. Sungguhpun dia baru sahaja pulang daripada melakukan tugasan di luar daerah, namun wanita ini masih bersemangat melayan penulis dan jurugambar yang berkunjung ke rumahnya. Tambah teruja apabila diajak bercerita mengenai Srikandi Tun Fatimah, iaitu persatuan bekas pelajar sekolah berasrama penuh Sekolah Tun Fatimah (STF) Johor. Mungkin persatuannya tidak segah persatuan-persatuan lain, namun Presiden STF ini bangga dengan apa yang dilakukan oleh Srikandi.

“Saya sebenarnya baru dilantik menjadi Presiden semasa mesyuarat tahunan yang berlangsung pada Mei 2011 lalu. Pada mulanya mereka bertanya sama ada saya boleh memegang jawatan Presiden.

“Secara jujurnya saya memang sibuk tetapi jika dibandingkan dengan pegawai perubatan yang lain, kesibukan itu kurang sedikit kerana tidak berada dalam ‘on call’,“ jelas Ketua Penolong Pengarah Kanan UD54, di Bahagian Perancangan dan Pembangunan, Kementerian Kesihatan Malaysia ini mengenai penglibatannya dalam Srikandi.

“Setiap bulan Srikandi akan bermesyuarat sama ada di rumah saya ataupun di pejabat kami yang terletak di Plaza Damas. Selalunya kami akan berbincang sebarang masalah dan aktiviti-aktiviti yang akan dilangsungkan.

“Antara aktiviti-aktiviti yang kami lakukan adalah majlis makan malam tahunan, Hari Keluarga dan yang terbaru adalah mendaki Gunung Kinabalu pada bulan Januari 2012. Pendaki-pendakinya semuanya melebihi usia 40 tahun.

“Ia diuruskan oleh Jawatankuasa Sukan dan Rekreasi iaitu Siti Zaleha Ngah. Malangnya saya tidak dapat mengikut pendakian tersebut kerana menghadapi masalah kesihatan. Saya menghidap asma dan tidak larat mendaki. Sebelum ini Srikandi juga telah mengadakan program mendaki Gunung Datuk pada bulan Oktober 2011 lalu,” cerita panjang lebar.

Jumpa Guru
Menurut Datin Dr. Siti Aishah lagi, Srikandi memiliki seramai lebih daripada 1003 orang ahli berdaftar. Setiap tahun katanya pelajar yang tamat tingkatan lima akan mendaftar sebagai ahli seumur hidup.

“Aktiviti yang kerap kami lakukan adalah program Back To School. Kami akan ke sekolah dan berjumpa cikgu-cikgu lama yang masih berkhidmat. Malah baru-baru ini, saya jumpa cikgu Matematik Tambahan saya yang baru sahaja pencen.

“Selain itu kami akan memanggil ahli-ahli yang terlibat dalam profesion profesional untuk memberi ceramah berkaitan kerjaya mereka kepada pelajar-pelajar STF. Ini adalah sebagai salah satu cara untuk memotivasikan adik-adik yang masih belajar di sana.

“Apa yang pasti, kebaikan menjadi ahli Srikandi ini adalah kami dapat membantu Srikandi yang memerlukan kerana kami memiliki Tabung Bencana dan juga mendapat kuota untuk anak-anak memasuki asrama sekolah berasrama penuh Tun Fatimah Johor Bharu,” jelasnya lagi.

Lebih Rapat Dari Adik-beradik
Menceburi persatuan ini nyata satu keseronokan kepada bekas pelajar STF ini. Ujarnya sehingga kini hubungannya dengan rakan sekolah tetap erat meskipun sudah 20 tahun meninggalkan STF.

“Saya telah meninggalkan STF lebih kurang 20 tahun lebih. Tapi setelah menyertai persatuan barulah saya perasan betapa eratnya hubungan persahabatan kami yang tinggal di asrama STF. Malah lebih erat daripada hubungan dengan adik-beradik kandung kami.

“Selama lima tahun kami membesar bersama-sama di asrama. Masa saya bersekolah dahulu, kami hanya diberi peluang keluar empat bulan sekali. Kami hanya terperuk dalam asrama sebab itulah hubungan kami cukup rapat,” ujarnya sambil memberitahu cukup teruja bertemu rakan sekolah ketika majlis reunion mahu pun secara tidak sengaja. Ketika ini katanya mereka akan melompat kegembiraan.

Tinggal di asrama sememangnya membawa kenangan manis yang tidak dapat dilupakan oleh pelajar sesi 1986 ini. Antaranya bila kes perogol bersiri tersebar di Johor satu ketika dulu.

“Ketika itu kami berjaga ramai-ramai pada waktu malam. Kami pegang kayu hoki dan tidur satu katil. Saya juga masih ingat memori bagaimana kami sambut April Fool dan mengenakan cikgu. Itulah memori manis yang kami sering ingat. Apabila berkumpul kisah ini pasti akan keluar semula.”

Masakan Dinanti Suami
Dalam pada itu Datin Dr. Siti Aishah berasa bertuah kerana walaupun sibuk dengan kerjaya dan keluarga, suaminya Dato’ Mohd Nizam bin Abdul Malik menyokong penglibatannya dalam aktiviti sosial dan amal kebajikannya.

“Suami menyokong penuh apa yang saya lakukan. Sebagai contoh semasa program Back To School baru-baru ini, dia mengizinkan saya menyertainya. Katanya dia faham saya perlukan ruang untuk diri saya sendiri. Itulah masa saya untuk berehat setelah sibuk di pejabat dan menguruskan keluarga di rumah,” ujar ibu kepada Muhammad Danial, Nurul Nadia, Muhammad Haris dan Nurul Aimi ini.

Biar sibuk dengan kerjaya dan persatuan, nyata wanita ini tidak mengabaikan keluarganya. Akuinya walau punya pembantu rumah namun dia tetap akan menyediakan hidangan untuk keluarga.

“Suami saya tidak suka makan masakan pembantu rumah. Sama ada saya suka atau tidak, apabila saya balik kerja saya akan masak. Sebabnya selagi saya tidak sampai rumah dan memasak selagi itu suami tidak akan makan.

“Kadang-kadang apabila anak-anak balik dari sekolah, pembantu rumah telah memasak untuk mereka. Namun anak-anak masih lagi hendak masakan ibu mereka. Saya amat berterima kasih kepada cikgu Sains Rumah Tangga saya dahulu kerana mengajar saya memasak.

“Sewaktu saya membesar, emak tidak membenarkan saya dan adik-beradik perempuan yang lain memasak. Dia mahukan kami belajar bersungguh-sungguh,” ujarnya yang berterima kasih kepada ibu bapanya Abdullah Mohamed dan Al-Faridah Abdul Majid kerana membesarkan mereka lapan beradik sehingga kami berjaya.

Dalam keluarga saya ada tiga orang doktor, dua orang akauntan, seorang guru dan dua orang jurutera. Kejayaan kami ini juga adalah hasil didikan dan ketegasan bapa,” ujar anak kelima daripada lapan beradik ini dengan penuh bangga.

Pahit Manis Miliki 25 Pembantu Rumah
Apabila bercerita mengenai pembantu rumah, ternyata Datin Dr Siti Aishah mempunyai cerita menarik mengenai mereka.

“Dalam tempoh 12 tahun saya telah menggunakan 25 orang khidmat pembantu rumah. Ada pelbagai cerita tentang mereka. Antara yang tidak dapat saya lupakan adalah pembantu rumah meninggalkan anak saya seorang diri di rumah ketika saya dan suami serta dua orang anak keluar makan malam.

“Bila balik, saya lihat anak saya ditinggalkan sendirian di tempat duduknya. Dalam keadaan kelam kabut lari dari rumah pembantu itu tertinggal beg tangannya. Dalam beg tangan itu rupanya ada barang kemas dan duit tunai yang dicurinya daripada saya.

“Tapi ada juga yang baik. Pembantu itu berasal dari Medan. Apabila saya balik kerja dan penat dia akan bawa anak-anak ke taman agar tidak mengganggu saya untuk berehat. Malangnya dia tidak lama kerana perlu balik ke Indonesia kerana perlu menjaga bapanya yang sakit,” imbasnya.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.